Pengerusi Jawatankuasa Ke­sihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru ne­geri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, jumlah tersebut dikesan setelah pemeriksaan dilakukan ke atas 10,141 premis di seluruh negeri.

Katanya, menerusi Aktiviti Pemantauan Keselamatan dan Kualiti Makanan itu juga, jabatan membuat sebanyak 1,148 rampasan bernilai RM24,703.61.

“Rampasan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 itu dibuat kerana tidak mempunyai label makanan, tamat tarikh luput dan bungkusan makanan yang telah rosak seperti kemek dan berka­rat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan tinjauan sempena Operasi Tahun Baharu Cina (Ops Gou) peringkat negeri di Jalan Mustafa Al-Bakry di sini hari ini.

Menurut Hang Soon, Jabatan Kesihatan negeri juga telah mengambil 126 sampel makanan untuk diperiksa semasa pemantauan makanan sempena pera­yaan itu pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya satu sampel makanan yang dikesan melanggar peraturan dan dikenakan denda sebanyak RM1,500.

“Pada tinjauan hari ini, kita telah mengambil lebih daripada 10 sampel untuk diperiksa bagi memastikan ia bebas daripada kandungan bahan yang melanggar peraturan.

“Ini bagi memastikan kese­la­matan makanan sentiasa terpelihara sekali gus melindungi orang ramai daripada bahaya kesihatan dan penipuan,” katanya.