Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Perak, Hassan Khamis berkata, projek tersebut akan melibatkan pembinaan 100 unit kediaman tiga bilik dengan harga jualan sebanyak RM75,000 se­unit.

“Kami telah mendapat kelu­lusan kerajaan negeri melalui mesyuarat yang diadakan semalam dan sekarang kita beralih kepada proses mendapatkan ke­benaran merancang dan majlis pecah tanah pula dijangka diadakan pada penghujung Januari tahun depan.

“Kami jangkakan kesemua kelulusan ini akan diperoleh sebelum hujung Februari depan dan mula melaksanakan kerja-kerja tanah pada Mac atau April depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengha­diri majlis penyampaian bantuan persekolahan kepada 600 pelajar menerusi program Ceria Kembali Ke Sekolah yang dianjurkan bersama pejabat Ahli Parlimen Kuala Kangsar di perkarangan pejabat Felcra Kledang Sayong di sini semalam.

Majlis disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Ahmad Sufian Ismail.

Dalam pada itu, Hassan berkata, penyampaian bantuan persekolahan kepada pelajar dalam kalangan keluarga dari golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felcra.

Beliau berkata, keuntungan yang diperoleh Felcra bukan sahaja diberikan semula kepada rakyat dalam bentuk dividen, tetapi juga melalui program CSR seumpama itu.

“Kami harapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban ahli keluarga khusus­nya kepada ibu bapa untuk persiapan pendidikan anak-anak.

“Oleh sebab itu, saya merasakan tiada sebab berlakunya keciciran dalam bidang pendidikan,” katanya.