Pengerusi Jawatankuasa Penganjur perlumbaan, Maslin Sham Razman berkata, saingan kali ini di­sertai 1,500 pelumba termasuk 100 pelumba luar negara dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Menurutnya, perlumbaan yang dianjurkan kali ketiga itu mendapat sambutan baik dan telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri Perak.

“Chandan Mountainbike Challenge turut disertai beberapa pelumba kebangsaan, bakat-bakat baharu yang melalui trek berbukit, becak, landai dan melalui jalan-jalan kampung.

“Berdasarkan sambutannya yang semakin baik, perlumbaan ini akan diteruskan lagi tahun depan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Perlumbaan yang bermula di Dataran Pavilion di sini dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie.

Maslin Sham yang juga ADUN Chandan berkata, pihak penganjur menawarkan hadiah wang tunai dan cabutan bertuah berjumlah RM40,000.

Katanya, perlumbaan Chandan Mountainbike Challenge itu dibahagikan kepada tujuh kategori mengikut kesesuaian peserta.

Menurutnya, untuk perlumbaan kali ini, penganjur menambahkan jarak perlumbaan kepada 45 kilometer berbanding 40 kilometer tahun lalu.

“Ini sudah tentunya memberikan kelainan bagi kayuhan mereka dalam perlumbaan kali ini,” katanya.