Beliau berkata, hal ini kerana projek pembinaan empangan itu antara terbesar pernah dilaksanakan oleh kerajaan setakat ini.

Katanya, beliau telah mengambil kira beberapa perspektif sebelum mengambil keputusan menyerahkan HEP Bakun kepada kerajaaan Sarawak.

“Saya sedar orang Sarawak ada perasaan dalam hati untuk memiliki dan menguruskan HEP Bakun sebab projek ini boleh menaikkan kebanggaan dan semangat anak-anak Sarawak.

“Telahan saya itu tepat berdasarkan ucapan Abang Jo (Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dalam majlis penyerahan hari ini selepas projek HEP Bakun kini berada dalam tangan (Sarawak),” katanya berucap dalam Majlis Penyerahan Rasmi Empangan Hidroelektrik (HEP) Bakun di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr. James Jemut Masing.

Pada 8 Mac 2017, kerajaan Sarawak dan Kementerian Kewangan mencapai persetujuan untuk menyerahkan 100 peratus saham Sarawak Hidro Sdn. Bhd. (SHSB) kepada Sarawak untuk memiliki dan mengendalikan sepenuhnya HEP Bakun melaui anak syarikat utiliti milik kerajaan negeri, Sarawak Energy Berhad (SEB).

HEP Bakun ialah sebuah empangan hidroelektrik merentasi Sungai Balui terletak kira-kira 37 kilometer (km) dari bandar Belaga yang mempunyai keluasan menyamai Singapura.

Berkemampuan menjana tenaga elektrik sebanyak 2,400 megawatt (MW), HEP Bakun merupakan sebuah empangan batu dilitupi konkrit setinggi 205 meter iaitu tertinggi di Malaysia dan kedua tertinggi di dunia. - UTUSAN ONLINE