Namun, jika ditanya mengenai Safar Ghafar mungkin ramai yang sudah melupakan beliau yang pernah menjadi naib johan Bintang RTM pada 1983 dan merakamkan beberapa album sebelum menyepikan diri dalam dunia hiburan tanah air.

Bagaimanapun andai ditanya kepada mereka yang membesar sekitar tahun 1980-an, nama Safar adalah tidak asing dan lagu popularnya dalam bahasa Melayu Sarawak, Mun masih mudak (Jika masih muda) kekal diingati sehingga kini.

Walaupun sudah tidak aktif lagi menyanyi, Safar Ghafar yang kini berusia 56 tahun tetap tidak boleh dipisahkan daripada dunia seni.

Selain berbakat menyanyi dan menari, beliau juga memiliki kemahiran dalam bidang seni lukis dan kebolehan itu dimanfaatkannya untuk mencari rezeki dengan mengusahakan perniagaan menjual baju T bercorak batik ikat celup yang unik di Kampung Budaya Sarawak, Santubong dekat sini.

Perniagaan tersebut diusahakan bersama dengan rakan kongsi yang juga adik iparnya, Mas Daud Mas Maliki, 52, yang juga berbakat besar dalam bidang seni lukis.

Menurut Safar Ghafar, baju T bercorak batik keluaran mereka mendapat permintaan tinggi terutama pelancong tempatan dan asing kerana setiap sehelai baju yang dihasilkan merupakan edisi khas.

“Baju T kami istimewa kerana setiap sehelai yang dihasilkan mempunyai corak yang berbeza dan boleh ditempah mengikut citarasa pelanggan.

“Selain itu, warna pada baju ini juga tidak mudah luntur berban­ding corak batik pada fabrik lain walaupun selepas dicuci banyak kali,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menjelas lanjut mengenai proses pembuatan baju T batik, Safar Ghafar memberitahu, pelanggan terlebih dahulu perlu memilih baju T berwarna putih mengikut saiz dan fesyen yang diingini seperti berkolar atau kolar bulat untuk dicorakkan.

Beliau berkata, baju berwarna putih dipilih kerana warna tersebut merupakan warna asas dan senang untuk dicorakkan.

Katanya, baju yang siap dicorak akan melalui proses mematikan warna, direbus, dicuci dan dikeringkan sebelum diserahkan kepada pelanggan.

“Kami menjual baju T batik ini dengan harga RM10 hingga RM15 sehelai. Pelanggan utama kami ialah rakyat tempatan sendiri dan pelancong asing terutama Austra­lia, Korea dan Jepun.

“Selain menjual baju T, kami juga menghasilkan corak batik ikat celup ini pada kain untuk dibingkaikan sebagai hiasan din­ding dan kain linen bagi membuat baju batik korporat dan jubah,” katanya.

Memandangkan kedai mereka hanya terdapat dalam Kampung Budaya Sarawak, Safar Ghafar berkata, produk mereka biasanya dipromosikan dari mulut ke mulut iaitu pelanggan yang pernah membelinya akan bercerita kepada kawan-kawan yang kemudian tertarik untuk membuat tempahan.

Katanya, mereka juga tiada masalah untuk menghantar pesanan melalui pos dan menerima kad kredit jika pelanggan ter­utama pelancong yang datang tidak membawa wang tunai mencukupi untuk membuat bayaran.

Bagi memudahkan pelancong, katanya, beliau dan Mas Daud sanggup pergi ke hotel penginapan pelanggan untuk me­nyenangkan mereka membuat pembayaran melalui kad kredit dan menghantar baju yang sudah siap di depan pintu bilik.

“Ketahanan dan keselesaan baju T dihasilkan kami menyebabkan ada pelanggan dari luar negara yang sanggup membuat tempahan berulang kali. Seorang pelanggan mengakui baju dibeli itu masih elok walaupun sudah enam tahun digunakan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menempah baju T batik istimewa ini boleh menghubungi Safar Ghafar menerusi 011-5437758 atau Mas Daud (016-8876770).