Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, berbanding dengan zaman dahulu peluang untuk mempelajari ilmu al-Quran agak terhad kerana dikendalikan oleh individu tertentu sahaja di dalam sesebuah kampung.

“Generasi sekarang beruntung kerana berpeluang belajar di pusat pengajian yang dibina dengan lebih moden berserta dengan tenaga pengajar yang mahir dalam al-Quran,” katanya ketika me­rasmikan Majlis Penutup Menghafaz al-Quran peringkat negeri di Masjid Tun Abdul Razak, Repoh, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Khairi Hasan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.

Azlan berkata, mana-mana pusat pengajian al-Quran persendirian pula diminta supaya berdaftar dengan JAIPs.

Beliau berkata, tujuannya bagi membolehkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan tahunan kepada pusat pengajian terbabit.

Sementara itu, bagi pemenang ka­tegori 1 hingga 30 juzuk lelaki, johan disandang oleh Muhammad Adib Imran yang menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil dan hadiah iringan, naib johan oleh Muhammad Muqri Suri menerima RM2,000 dan sijil dan ketiga oleh Muhammad Iqbal Solahhudin menerima RM1,500 dan sijil.