Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, inisiatif berkenaan juga bakal menjadikan Melaka sebagai wadah terbesar dalam kecekapan penggunaan tenaga di beberapa bangunan kerajaan negeri.

Pelaksanaan inisiatif itu menurutnya, bakal melibatkan sembilan bangunan milik kerajaan negeri dan dijangka dapat mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 20 hingga 30 peratus.

“Pelaksanaan EPC menggunakan peralatan dan pengurusan tenaga yang cekap sekali gus dapat mengurangkan kos tenaga serta pelepasan gas rumah hijau.

“Ini adalah visi Melaka bagi mencapai pembangunan teknologi hijau sekali gus menjadi hab dalam pembangunan mapan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman (MoU) antara Danish Energy Efficiency Partners Sdn. Bhd. (DEEP) dan Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) di Bilik Bijasura Seri Negeri di sini semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Haini Hassan; Ketua Pegawai Eksekutif PTHM, Datuk Kamarudin Md. Shah; Pengarah Urusan DEEP, Henrik Rytter Jensen dan Timbalan Pengarah Pusat Kerjasama Serantau IMT-GT, R. Balamurgan.

MoU itu ditandatangani bagi melaksanakan usaha mengurangkan penggunaan tenaga di bangunan milik kerajaan negeri.

Idris memberitahu, menerusi MoU itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri telah memperuntukkan RM900,000 tenaga audit bagi sembilan bangunan iaitu Seri Negeri, Wisma Negeri, Hospital Pakar Putra, Melaka Sentral, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Graha Maju, Graha Makmur, Wisma Air dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

“Melalui program itu, Melaka akan menjadi negeri pertama melaksanakan EPC sekali gus menjadi wadah atau ‘showcase’ terbesar dalam kecekapan penggunaan tenaga di bangunan tersebut,” katanya.

Katanya, penilaian asas bangunan telah dilakukan secara terperinci melalui tenaga audit yang menunjukkan potensi besar penjimatan tenaga bangunan dan terbukti melalui ‘actual retrofitting’ bangunan tersebut.

Beliau menambah, melalui EPC itu, pemilik bangunan tidak perlu mengeluarkan pelaburan dan kesemuanya akan ditanggung oleh Danish Energy Management (DEM) melalui penjimatan pembayaran tenaga dalam tempoh 120 bulan (10 tahun).

“Jumlah pelaburan tersebut adalah sebanyak RM20 juta dan dianggarkan sejumlah RM10 juta anggaran simpanan setiap tahun bagi sembilan bangunan berkenaan,” katanya.

Idris memberitahu, fasa pertama melibatkan tiga bangunan iaitu Wisma Negeri, Hospital Pakar Putra dan Melaka Sentral diikuti enam bangunan lagi bagi fasa kedua.

“DEEP akan menyediakan kepakaran dan kewangan bagi projek tersebut seperti proses reka bentuk, pemerolehan, pemasangan dan pemantauan projek penjimatan tenaga.

“Syarikat itu di bawah DEM dan Danish Climate Investment Fund akan melabur dan melaksanakan projek itu. Kerajaan negeri pula akan membayar semula pelaburan itu melalui penjimatan kos tenaga yang dicapai,” katanya.