Antaranya, gagasan Johor Berkemajuan yang merupakan aspirasi masa depan yang gemilang bagi rakyat dan negeri ini, bukan sahaja berlandaskan pembangunan dan kemajuan fizikal semata-mata, malah digaul de­ngan penerapan nilai-nilai murni dan jati diri sebagai rakyat yang unggul.

Selain itu, idea bernas seper­ti Muafakat Johor dan Team Johor berjaya mencetuskan di­men­­si baharu dalam mengerat dan me­ngukuhkan lagi sema­ngat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Dan yang terbaharu, Moha­med Khaled mencetuskan satu lagi gagasan untuk melonjakkan pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan pada ketika ini dengan memperkenalkan Dekad Baharu Johor.

Aspirasi bagi tempoh 10 tahun akan datang tersebut diperke­nalkan untuk membangunkan negeri ini menjadi negeri paling membangun dan sejahtera dan perancangan berkenaan selari dengan agenda nasional seperti Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Sudah pastilah segala dasar dan agenda pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri mengambil kira keserasian dan kesesuaiannya dengan dasar dan agenda besar di peringkat nasio­nal, begitu jugalah dengan gagasan Dekad Baharu Johor ini,” kata Mohamed Khaled semasa me­ng­huraikan tentang misi tersebut baru-baru ini.

Dekad Baharu Johor juga memberi perhatian yang besar terhadap teknologi, globalisasi dan dunia digital dengan menjadikan perkembangan teknologi dan cabaran globalisasi sebagai satu perkara yang harus didepani secara terbuka dan berkesan.

Aspirasi tersebut juga amat peka dan meletakkan pertimba­ngan yang sensitif terhadap aspek budaya dan warisan tempatan.

Nyata apa yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan BN pimpinan Mohamed Khaled yang juga Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Permas bukan sahaja berpaksikan rakyat, malah sentiasa mendahulukan kepentingan dan kebajikan rakyat yang amat sinonim dengan laungan Bangsa Johor.

Dengan suhu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin panas, Teropong Kawan ingin berpesan supaya rakyat sentiasa memberi perhatian teliti terhadap apa yang diperkatakan dan dijanjikan oleh pelbagai pihak, khususnya Pakatan Harapan.

Rakyat, khususnya pengundi usah mudah 'cair' dan terpedaya dengan janji-janji manis, namun belum pasti mampu dilaksanakan jika mereka menang. Fitnah dan berita palsu juga semakin banyak bertebaran, khususnya dalam medium digital yang mudah diakses.

Malah pada PRU-14 ini, Teropong Kawan meramalkan akan tercetus 'perang' siber yang lebih hebat antara pihak kerajaan BN dan Pakatan Harapan untuk meraih undi.

Justeru, pilihlah dengan bijaksana! Pilihlah berdasarkan rekod pencapaian berbanding janji-janji manis yang belum pasti.

Andai itu yang diberi peni­laian dan keutamaan, nyata kerajaan BN harus terus diberi kepercayaan oleh rakyat. BN mempu­nyai rekod cemerlang untuk terus membangunkan negeri dan negara ini.

Teropong Kawan: 
Abaikan calon yang 
hanya pandai 'menyalak'