Pengurus Kanan Pusat IBS Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) (Sektor Pembangunan Teknologi) Idrus Din berkata, pada masa ini jumlah kilang pembuatan produk berkenaan di wilayah itu agak sedikit dan berskala kecil.

Katanya, pada masa ini hanya terdapat sebanyak 22 kilang pembuatan IBS  yang membabitkan lapan di Terengganu dan masing-masing tujuh di Kelantan dan Pahang ekoran tahap permintaan yang rendah.

"Pengunaan IBS dalam projek pembangunan banyak kelebihannya antaranya teknologi berkenaan bukan sahaja berkualiti tetapi juga jauh lebih murah malah jangka masa untuk menyiapkan sesuatu projek adalah lebih cepat berbanding cara konvensional,’’ katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Kontraktor IBS Wilayah Timur di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai di sini yang disempurnakan oleh Pengarah CIBD negeri, Annis Othman.

Seramai 350 kontraktor menyertai seminar itu yang bertujuan memberi pendedahan kepada mereka dalam melaksanakan projek pembinaan menggunakan kaedah itu. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyIBS CIDB, Rozaiman Hassan.

Katanya, mulai tahun depan kerajaan menetapkan untuk semua projek swasta mencapai 50 peratus penggunaan IBS manakala setiap projek pembinaan kerajaan adalah 70 peratus.

Sejajar dengan perkembangan itu, CIDB manyasarkan mempunyai 300 kilang pembuatan produk IBS di seluruh negara menjelang 2020 berbanding 263 kilang kini yang kebanyakannya di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Terdahulu dalam ucapannya Annis berkata, pihaknya telah  mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dalam usaha mewujudkan kilang pembuatan IBS melalui anak syarikat kerajaan negeri bagi menampung keperluan produk tersebut. -UTUSAN ONLINE