Guru Besar sekolah berkenaan Siti Norhasidah Mohd Yusof berkata dua murid tahun enamnya iaitu Ahmad Nur Syarwani Ahmad Kamal dan Nurul Hana Shafahani Murad telah lulus 100 peratus dan menguasai semua mata pelajaran walaupun masing-masing sekadar meraih 1A sahaja.

Jelas beliau, apa yang mengharukan Ahmad Nur Syarwani meraih pencapaian A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) Pemahaman manakala Nurul Hana Shafahani meraih B dalam BI Penulisan meskipun tiada guru pengganti subjek berkenaan, setelah guru yang terdahulu bersara pilihan sejak awal tahun ini.

"Sebenarnya saya bersyukur kerana walaupun dalam keadaan sedemikian, mereka berdua tetap berjaya lulus mata pelajaran BI serta keseluruhannya. Kami para guru telah cuba sedaya upaya dan berpakat-pakat mengajar dan memberi latihan BI kepada mereka berdua dengan diketuai Cikgu Farah yang mengajar subjek Sains.

"Mereka berdua telah membuat yang terbaik walaupun keputusan kurang membanggakan, dan saya juga secara peribadi sangat berpuas hati dengan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) terhadap mereka berdua menerusi penilaian jasmani dan kokurikulum, psikometrik serta UPSR," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Untuk rekod, SK Tebing Rebak terletak di kawasan pedalaman, merupakan sekolah yang unik di negara ini, mempunyai lima murid termasuk dua murid tahun dua iaitu Dhiya Sofia Muhamad Ridzuan dan Mohamad Adam Danis Hafiz Nizam serta seorang murid tahun tiga, Muhamad Farez Daniel Murad.

"Ini bermakna bermula tahun hadapan, selama dua tahun maka tidak akan ada calon UPSR. Kami akan penuhi anak murid dengan pembelajaran serta jati diri," kata guru besar itu yang turut dibantu empat guru yang lain iaitu dua guru perempuan dan dua guru lelaki.- BERNAMA