Wakil dari Johor merupakan antara yang paling ramai dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri selain Selangor. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada negeri ini apabila lapan menteri dan timbalan menteri dilantik.

Bukan sahaja parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) nege­ri memberikan majoriti dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri, di peringkat Pusat PH menyumbang 18 kerusi Parlimen dari­pada keseluruhan 113 kerusi yang dimenangi PH seluruh negara.

Lima dilantik menjadi menteri dan tiga lagi timbalan Menteri dalam kementerian kanan yang dipilih berdasarkan latar belakang dan kelayakan mereka. Ini termasuk jawatan penting masing-masing dalam parti-parti politik yang dianggotai.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, dilantik Menteri Dalam Negeri, selain itu Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Mazlee Malik dilantik sebagai Menteri Pendidikan.

Begitu juga Ahli Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani); Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar) dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan).

Barisan timbalan menteri pula terdiri daripada Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh (Kementerian Wilayah); Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dr. Md. Farid Md. Rafik (Jabatan Perdana Menteri - Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (Kementerian Pendidikan).

Pelantikan mereka juga adalah selepas mengambil kira jawatan dalam parti politik contohnya Muhyiddin merupakan Presiden PPBM, Timbalan Pengerusi PH dan Pengerusi PH Johor selain Salahuddin yang merupakan Naib Presiden Pakatan Harapan dan juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara.

Termasuk Shahruddin (Setia­usaha Agung PPBM) dan Syed Saddiq (Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda PPBM). Pemimpin-pemimpin ini merupakan figura politik dan boleh dikatakan sudah lama memainkan peranan serta terkenal sebelum menjadi jemaah menteri dan timbalan menteri lagi.

Majoriti adalah daripada PPBM melibatkan lima pemimpin iaitu Muhyiddin, Mazlee, Shahruddin, Syed Saddiq dan Md. Farid manakala dua wakil DAP (Bee Yin dan Nie Ching) dan Amanah (Salahuddin). Tiada Menteri atau Timbalan Menteri dari Johor yang mewakili kaum India.

Barisan Kabinet dari Johor boleh dikatakan seimbang kerana merangkumi hampir semua parti dalam PH selain mempunyai kepakaran masing-masing. Beberapa wakil PKR Johor yang menang kerusi Parlimen tidak dilantik kerana difahamkan atas kehendak PKR Pusat.

Gabungan muka lama yang berpengalaman dalam politik dan kerajaan sebelum ini serta muka baharu akan memberikan gan­dingan berbeza - sudah tentu akan ada kelebihan dan kekurangan.

Antara hakikat yang paling menarik adalah apabila Muhyiddin yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO dan berjuang lebih 47 tahun dalam parti itu dan menjawat pelbagai jawatan dalam kerajaan sebelum ini kembali menganggotai Kabinet tetapi menerusi kerajaan berbeza.

Boleh difahami mengapa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melantiknya kerana beliau merupakan pemimpin senior dan berpengalaman selain lantang terutama dalam memperjuangkan hak serta kepentingan Melayu ketika bersama-sama UMNO.

Diharapkan ketegasan beliau dalam melibatkan Melayu dan Islam akan lebih berjati diri dan tidak berubah apabila sudah menyertai PH. Penulis percaya Muhyiddin akan lebih dihormati jika masih kekal dengan perjua­ngannya selagi tidak menindas hak atau kepentingan kaum lain.

Tertarik juga dengan Syed Saddiq yang merupakan Menteri pa­ling muda di negara ini. Pelantikan beliau diharap membawa lebih banyak faedah serta memajukan bidang pendidikan dan sukan. Portfolio beliau tidak kurang pentingnya dalam mencorak masa depan generasi muda.

Bagi Mazlee, kementeriannya tidak kurang pentingnya. Ketika ini beliau berdepan dengan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) melibatkan sekolah persendirian Cina. Beliau dilihat tersepit apabila Nie Ching yang juga Timbalannya seakan tidak sehaluan dalam memberikan kenyataan berhubung isu itu.

Mazlee mahukan satu pendekatan holistik dilakukan supaya tidak menjejaskan perpa­duan kaum dan menggadaikan usaha memartabatkan bahasa Mela­yu sebagai bahasa kebangsaan manakala Nie Ching pula mahu isu pengiktirafan UEC selesai sebelum hujung tahun ini seperti dijanjikan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana sebahagian manifesto PH.

Di sinilah ketegasan dan kredibilitinya akan diuji dalam membuat keputusan tersebut supaya tidak dilihat tunduk kepada desakan minoriti sebaliknya meng­utamakan keperluan majoriti sejajar dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.