Pengurus Perkeso Kuala Kangsar, Khairul Mizan Md. Said berkata, ini kerana jumlah penerima baucar yang menjalankan pemeriksaan kesihatan masih rendah walaupun baucar itu diberikan secara percuma.

Menurut beliau, pihaknya telah memberikan 18,380 baucar kepada majikan di Kuala Kangsar dan daripada jumlah itu 3,558 pekerja telah membuat pemeriksaan kesihatan.

“Ini bermakna 14,822 pekerja masih belum melakukan ujian saringan kesihatan. Jumlah ini memang sangat rendah sedangkan kita telah lantik beberapa klinik untuk lakukan saringan kesihatan ini.

“Perkeso berharap lebih ramai pekerja sedar dengan kemudahan ini dan melakukan ujian saringan di panel klinik yang kita telah lantik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Perkeso Bersama Pemimpin Masyarakat di sini semalam.

Baucar HSP merupakan program yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak semasa Bajet 2013 dan merupakan program saringan kesihatan untuk semua pekerja aktif berumur 40 tahun ke atas.

Menurut Khairul Mizan, statistik ujian saringan kesihatan menunjukkan 61.76 peratus daripada mereka dikesan mempunyai tahap kolestrol yang tinggi.

Selain itu, katanya, Perkeso juga banyak menerima kes tuntutan yang melibatkan kematian akibat serangan sakit jantung.

“HSP akan menyaring penyakit tidak berjangkit seperti kardiovaskular, diabetes, kanser serviks dan payudara di mana penyakit ini dikenalpasti akan memberi kesan kepada produktiviti pekerja.

“Kami menggalakkan pekerja menjalani ujian saringan kesihatan menggunakan baucar yang diberikan kepada mereka,” katanya.