Bagi pasangan Zairul Nazri Youhanis, 22, dan Puteri Nur Amira Mohamad Amli, 21, tema tradisional Melayu zaman silam menjadi pilihan pasangan itu yang diraikan di Dewan Taman Pasir Putih, di sini malam tadi.

Bapa pengantin perempuan, Mohamad Amli Abdul Kadir, 54, berkata, tema itu menjadi pilihan anak keempat daripada lima beradik itu yang inginkan kelainan pada hari istimewanya itu.

“Selepas majlis akad nikah selesai, kedua-dua mempelai telah disajikan dengan persembahan silat sebelum diarak ke ‘singgahsana’ oleh lima ‘hulubalang' yang membawa keris dan tombak sambil diiringi paluan kompang dan irama muzik tradi­sional.

“Sebaik naik ke atas pelamin, telah diadakan satu upacara 'pertabalan' raja sehari apabila saya menyerahkan keris lama kepada menantu sebagai simbolik menyerahkan tanggungjawab terhadap anak perempuan saya kepada suaminya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Selain isteri, Engku Suraya Engku Ahmed, 50, dan saudara mara, majlis itu turut diserikan dengan kehadiran lebih 1,000 te­tamu jemputan.

Mohamad Amli berkata, rata-rata saudara maranya yang datang turut mengenakan pakaian tradisional Melayu termasuk memakai tanjak bagi tetamu lelaki, sekali gus merealisasikan tema majlis tersebut.