Kesemua penduduk akan menerima secara rasmi sijil berkenaan pada Ahad ini yang akan diserahkan oleh Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon di padang awam taman perumahan tersebut.

Taman Cheras Prima yang terletak berhampiran Taman Cheras Jaya dan Kampung Sungai Balak mempunyai 989 unit rumah yang terdiri daripada rumah pangsa, rumah kedai dan rumah teres dua tingkat.

Bagaimanapun, masih terdapat 95 penduduk rumah berkembar dua tingkat di situ yang tidak diberikan sijil tersebut kerana pengubahsuaian rumah yang mereka lakukan belum mendapat kelulusan dari MPKj.

Timbalan Presiden Persatuan Penduduk Taman Cheras Prima, Kuo Hai Ann, 40, berkata masalah mereka itu bermula apabila syarikat pemaju perumahan yang lama, Port City Holdings Sdn. Bhd., diisytiharkan muflis oleh mahkamah pada tahun 2006.

"Selepas itu, segala urusan permohonan melibatkan sijil layak menduduki rumah ini menemui jalan buntu sebelum diambil alih oleh Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan,'' katanya.

Tambahnya, jabatan itu kemudian bertanggungjawab menguruskan tugas syarikat pemaju yang terdahulu terhadap penduduk di situ.

Bagaimanapun, kata beliau, pelan 'serahan milik induk' taman berkenaan masih belum diserahkan oleh pemaju kepada mereka.

"Pelan tersebut amat penting kepada penduduk supaya kediaman mereka dapat menjadi hak milik individu,'' katanya.

Katanya, penduduk difahamkan syarikat pemaju termasuk semua ahli lembaga pengarahnya masih aktif dalam perniagaan hartanah tetapi menggunakan nama yang lain.

Pengerusi Cawangan Rumah Pangsa Taman Cheras Prima, Johari Mat, 43, pula berkata, masalah penghuni rumah pangsa pula ialah ketiadaan syarikat pengurusan untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan kemudahan di kawasan kediaman mereka.

"Sebagai contoh terdapat bumbung rumah di tingkat atas yang tercabut dan apabila hujan, air akan memasuki rumah yang berada di tingkat atas dengan banyaknya,'' katanya.

Katanya, penduduk di situ tiada pilihan melainkan membentuk satu jawatankuasa kecil bagi mengutip derma di kalangan penduduk untuk memperbaiki kerosakan terbabit.

"Saya cukup kesal kerana kebajikan penduduk di sini tidak terjaga, tambahan kualiti rumah pangsa di sini tidak mencapai tahap yang sepatutnya,'' katanya.

Bendahari Persatuan Penduduk Taman Cheras Prima, Rapolla Abdul Satar, 58, berkata, penduduk juga menghadapi masalah pampasan tuntutan lewat serah rumah yang tidak dijelaskan oleh syarikat pemaju.

"Rumah ini sepatutnya disiapkan pada tahun 2003 tetapi tertunda sehingga hujung tahun 2005 dan apabila tuntutan pampasan dibuat seperti yang termaktub dalam perjanjian jual beli, pemaju gagal menjelaskannya,'' katanya.

Sementara itu, Pian Hon berkata, beliau akan terus memberi sokongan kepada penduduk di situ bagi melindungi kepentingan mereka.

"Saya mengambil serius masalah yang dialami oleh penduduk di sini kerana telah lama mereka perjuangkan hak untuk mendapat sijil layak menduduki,'' katanya.

Beliau yang banyak membantu penduduk di situ menyelesaikan masalah mereka sebelum ini yakin segala kesulitan yang dialami boleh diselesaikan tetapi penduduk perlu bersabar.