Mereka bimbang kerana kren 380 tan itu mula senget dan tenggelam akibat struktur tanah lembut dan boleh tumbang jika tindakan segera tidak diambil.

Penduduk di situ pernah meminta pemaju supaya mengambil langkah keselamatan tetapi permintaan mereka tidak diberikan perhatian.

Seorang pemilik rumah Chia Chia Cheah, 48, berkata, bumbung rumahnya pernah rosak akibat terkena tiang konkrit setelah kren cerucuk itu menjalankan kerja di situ.

“Sepatutnya, pemaju mengambil langkah keselamatan bagi me­ngelak kren itu tumbang dan boleh menghempap rumah berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bimbang dengan masalah yang sama, seorang suri rumah, Mariah Bulat, 53, berkata, rumahnya terletak kira-kira tiga meter dari kedudukan kren cerucuk itu.

Katanya, sejak kerja pembinaan dijalankan sebulan lalu, mereka sekeluarga bimbang dengan ke­selamatan mereka.

“Kita tinggal dalam keadaan bimbang kerana kerja pembinaan berdekatan kawasan kediamannya kadangkala menyebabkan rumahnya bergegar,” katanya.

Seorang lagi penduduk, P. Bala, 49, berkata, pemaju sepatutnya membina pagar di kawasan pembinaan itu untuk mengelak ia membahayakan keselamatan penduduk.

“Saya minta pemaju tolong bagi perhatian kepada penduduk di sini demi keselamatan mereka,” ujarnya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Rumah Mak Mandin Hijau, Shamsuddin Mohamad, 54, pihaknya bimbang kerana sebuah kren cerucuk yang menjalankan kerja di situ berada dalam keadaan tidak stabil disebabkan struktur tanah lembut.

“Saya bimbang jika kren itu terbalik dan menimpa rumah penduduk. Jangan tunggu berlakunya kehilangan nyawa baharu hendak mengambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di sini ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan meninjau setelah menerima aduan penduduk di sini sebelum mengambil tindakan selanjutnya.