Sesuai dengan perkataan ‘bokubang’ yang bermaksud ‘berendam di dalam air atau lumpur’ dalam dialek Negeri Sembilan, fiesta itu melibatkan aktiviti berkonsepkan sukan air.

Paling mencuit hati adalah acara basikal titi apabila beberapa peserta cuba melepasi titi sepanjang kira-kira 15 meter merentasi sebuah kolam air.

Bagaimanapun, hanya seorang peserta berjaya berbuat demikian manakala yang lain terhumban ke dalam kolam berlumpur bersama basikal masing-masing.

Acara lain yang dianjurkan termasuklah pukul bantal atas air, tangkap itik, lumba kayak dan tarik tali di dalam air.

Walaupun ada yang terpaksa pulang dengan pakaian basah dan diselaputi lumpur, namun mereka tetap ceria dan bersemangat menjayakan acara tersebut.

Turut diadakan boling buah kelapa dan sukaneka kanak-kanak selain dimeriahkan dengan gerai-gerai menjual makanan dan minuman.

Menurut Ketua Sekretariat fiesta, Akhtar Sahari, kira-kira 2,000 penduduk termasuk dari kampung sekitar menghadiri acara yang dianjurkan buat pertama kali di daerah ini.

“Program ini menggabungkan sukan air dan sukaneka yang julung kali diadakan. Ini bertujuan mengeratkan hubu­ngan antara masyarakat dari kampung berlainan di sini.

“Dalam masa yang sama, program ini dapat memperkenalkan Kampung Sungai Dua Besar kepada masyarakat luar dan menunjukkan bahawa kampung kami mempunyai tarikan tersendiri,” katanya di sini baru-baru ini.

Perasmian program itu di­sempurnakan oleh Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja.

Fiesta Bokubang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Dua Besar turut mendapat kerjasama pemilik motosikal berkuasa tinggi dari BMW Motorrad Malaysia.

Sementara itu, Hasan dalam ucapan perasmiannya berkata, acara itu berlangsung dengan meriah kerana mendapat kerjasama daripada semua pihak di kampung itu termasuk pe­ngurusan masjid dan anak-anak muda.

Katanya, ia juga secara tidak langsung menggambarkan semangat muafakat dan perpaduan kukuh dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Kuala Pilah.

“Inilah wajah Kuala Pilah yang terkenal dengan keakraban dan kerjasama. Saya harap semangat ini akan terus dikekalkan. Program seumpama ini dapat mendorong penduduk untuk saling mengenali selain menarik minat dan penyertaan golongan muda,” katanya.

Beliau juga menggesa anak-anak muda dari kampung yang berjaya dalam karier masing-ma­sing di bandar supaya menganjurkan program kemasyarakatan di desa sebagai salah satu sumbangan untuk kampung kelahiran mereka.