Diberi nama 'Stu Ben Art Workshop', galeri milik Wan Jaida Wan Samidin, 41 dan suami Azman Ismail, 44, di Jalan Pasir Puteh itu mula beroperasi awal tahun ini dan diusahakan dengan kerjasama 12 pelukis tempatan.

Wan Jaida, lulusan seni lukis dan seni reka dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata sekalipun perniagaan butiknya mendapat sambutan menggalakkan, ia tidak memberi kepuasan kepadanya.

"Tahun lepas, saya membuat keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada hasrat yang telah lama saya pendamkan iaitu memiliki galeri seni sendiri," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, galeri itu yang dibuka setiap hari kecuali Jumaat bukan sekadar mempamerkan karya artis tetapi turut menyediakan pelbagai maklumat berkaitan seni selain bengkel menghasilkan karya.

Galeri dibuka secara percuma kepada sesiapa yang berminat dan pengunjung berpeluang melihat pameran lukisan dan hasil karya lain di samping menimba ilmu berkaitan seni melalui penerangan yang disampaikan.

Wan Jaida berkata hasratnya untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat terutama generasi muda juga dapat direalisasikan apabila beberapa sekolah dari Terengganu dan Kelantan mula mengunjungi galerinya bagi melihat pameran lukisan selain mengikuti bengkel asas seni lukis yang diadakan.

"Di galeri ini terdapat pelbagai jenis hasil seni yang diilhamkan mengikut kaedah yang berbeza oleh pelukis yang berbeza. Kami turut mempamerkan karya pelukis tersohor seperti arca kayu daripada Prof Madya Zakaria Awang dan Johari Said," katanya.

Beliau turut mengetengahkan karya seni timbulan yang dihasilkannya melalui perca kain selain karya seni arca yang dihasilkan suaminya.

"Idea untuk membuat lukisan timbulan daripada kain perca ini telah lama saya fikirkan dan telah saya usahakan sejak beberapa tahun lepas. Lukisan ini dibuat melalui lima lapisan kain perca yang ditampal mengikut motif yang dikehendaki menggunakan gam sebelum dikeringkan," katanya.

Beliau mengambil masa kira-kira dua bulan bagi menyiapkan sebuah lukisan timbulan itu. - BERNAMA