Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, pencemaran itu yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu bukan sahaja menyebabkan air kedua-dua sungai berkenaan menjadi hitam pekat dan berlumpur tetapi mewujudkan pemandangan yang kotor serta jijik di samping menimbulkan bau busuk yang meloyakan.

Menurut beliau, masalah itu berpunca daripada pembuangan sisa dari kilang industri, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia.

“Berikutan itu kedua-dua su­ngai tersebut mati di bahagian hilir tanpa terdapat apa-apa spe­sies hidupan di dalamnya.

“Malah, tinjauan kita juga mendapati air sungai berkenaan berminyak serta berlumpur dan dipermukaannya dipenuhi sampah sarap serta berbagai bahan buangan yang mendap di dalamnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, pihaknya ter­kejut kerana terdapat penduduk yang tinggal di kawasan jeti nelayan Sungai Keluang membina tandas dan membuang najis ke dalam sungai tersebut.

Sehubungan itu, beliau bimbang jika keada­an tersebut dibiarkan, ancaman pencemaran ke atas sungai-sungai berkenaan akan berlaku dengan lebih buruk pada masa depan.

“Keadaan ini pastinya boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mengancam hidupan marin di laut berhampiran.

“Disebabkan itu, kita menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan dan membuat pemantauan yang kerap bagi memastikan pengusaha kilang industri mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa orang awam tidak membuang sisa kotoran dan najis ke dalam sungai dengan sewenang-wenangnya.