Dengan nada suara yang bersungguh-sungguh individu di dalam rakaman itu juga mendakwa dia dan kumpulannya sedang bersiap sedia untuk berdepan sebarang situasi.

Seorang rakan dari Te­rengganu yang turut me­nerima rakaman itu bertanyakan penulis, apa sebenarnya berlaku? Untuk makluman, tidak ada sebarang insiden kekacauan atau perselisihan di lokasi yang dimaksudkan.

Suasana di Seremban aman damai, pusat beli-belah dikunjungi seperti biasa, manakala Terminal One terus dipenuhi orang ramai yang hendak menaiki bas, teksi dan juga bersantai menonton wayang.

Tidak ada apa-apa yang hendak dirisaukan dan dakwaan dibuat dalam rakaman suara itu tidak benar sama sekali.

Penularan rakaman seumpama itu sebenarnya bukan baharu.

Tidak dinafikkan ramai mudah percaya dan bimbang setiap kali menerima maklumat yang direka-reka dengan niat sengaja menimbulkan kegusaran masyarakat.

Amat merugikan apabila teknologi telekomunikasi canggih yang dibangunkan hari ini bagi memudahkan kehidupan manusia, disalahgunakan untuk perkara sia-sia dan menakutkan orang lain.

Kalau pada zaman Hang Tuah dan era koboi, setiap individu digambarkan memiliki keris dan pistol sebagai alat untuk mempertahankan diri atau mencederakan orang lain, hari ini kita juga memiliki senjata hampir sama. Kalau keris mampu mence­derakan dua atau tiga orang dalam satu masa, te­lefon pintar kalau disalah guna untuk menyebar berita palsu, berpotensi mencetuskan kekalutan, ancaman, dan menjejaskan ribuan orang.

Satu pesanan WhatApp boleh dihantar kepada ribuan penerima dan kemudian dikongsi dan disebar kepada kumpulan lebih besar dalam tempoh singkat . Ia umpama sebutir peluru yang ‘menembak’ ke arah masyarakat sekiranya tidak dikawal dan dicegah dengan kawalan diri serta disiplin.

Apa lagi dengan segelintir pemilik telefon pintar hari ini yang tidak suka meneliti dan mengesahkan kesahihan sesuatu pesanan yang diterima dan tidak berfikir panjang sebelum menyebarnya.

Jangan pandang mudah kuasa dan kesan baik serta buruk yang boleh dicetuskan jari-jari kita semasa menggunakan telefon pintar. Jangan hanya guna telefon pintar tapi anda melakukan perbuatan sia-sia dan bodoh.