Pengurus Niosh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd. Husin Abdul Salam berkata, sejak ditubuhkan pihaknya telah menganjurkan sebanyak 415 seminar dan kursus di negeri ini.

Malah menurutnya, seminar dan kursus anjuran Niosh juga dilihat mendapat sambutan apabila lebih 5,000 peserta menghadiri program organisasi itu.

“Kita optimis berjaya menarik lebih ramai penyertaan apabila pejabat baharu kita beroperasi pada bulan hadapan. Simbolik perasmian dijangka akan dilakukan oleh Pengerusi Niosh, Tan Sri Lee Lam Thye,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri 2015 Niosh Wilayah Sabah, di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Husin menambah, Niosh negeri turut menawarkan perkhidmatan kursus stimulasi secara mudah alih di Kota Kinabalu dan Sandakan sejak awal tahun ini.

Kata beliau, perkhidmatan stimulasi berkenaan merupakan prkhidmatan julung kali diadakan di negeri ini memandangkan banyak aduan daripada pihak industri yang masih tidak memahami prosedur operasi standard (SOP).

“Bagi memudahkan pihak industri, kakitangan Niosh akan datang ke lokasi industri bagi memberikan perkhidmatan tersebut,” katanya.