Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Isnin Aman berkata, antara perancangan pihaknya adalah menggalakkan program integrasi di ladang kelapa sawit di Lembah Kesang di sini yang mempunyai keluasan kira-kira 809 hektar dengan tanaman kontan seperti sayur-sayuran bagi menambah pendapatan.

"Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) juga bersetuju untuk memberi tambahan tempoh tiga tahun kepada PPM untuk menjadi pembekal kepada anak benih sawit untuk agensi itu di mana ia mampu meningkatkan pendapatan para pekebun kecil khususnya di kawasan Jasin.

"Menerusi usaha ini, pekebun kecil dapat menjual hasil sawit mereka kepada PPM dan langkah ini mampu menambah pendapatan mereka apabila hasil tanaman mereka dijual terus kepada MPOB menerusi PPM," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sehari Bersama Pekebun Kecil di pejabat PPM di Lembah Kesang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Cawangan MPOB Negeri Sembilan dan Melaka, Mohamad Jasni Satar dan lebih 40 pekebun kecil di sekitar Lembah Kesang dan Felcra Seri Mendapat.

Isnin berkata, selain itu, pihaknya juga akan memperkembangkan perusahaan ternakan lembu, ayam kampung, burung puyuh dan itik yang mula dilaksanakan di ladang tersebut sejak setahun lalu.

Katanya, sejak mengambil alih syarikat itu dua tahun lalu, pendapatan PPM semakin meningkat apabila keuntungan syarikat iaitu kira-kira RM9 juta setahun melonjak kepada RM13 juta tahun lalu. - UTUSAN ONLINE