Sejak awal pagi Pejabat Utusan Biro Johor di Jalan Serampang, Taman Pelangi di sini 'diserbu' orang ramai bagi menebus keratan masthead Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia yang menyediakan seba­nyak 3,500 tiket percuma itu.

Seorang kakitangan kerajaan, Normalawati Amid, 37, dari Taman Nusantara, Gelang Patah gembira kerana dapat menebus 17 tiket ke taman aktiviti pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu.

“Saya mengumpul keratan masthead Utusan Malaysia untuk membawa anak-anak yang masih belum berkesempatan untuk pergi ke taman aktiviti tersebut.

“Kebetulan sekarang cuti sekolah, dapatlah saya bawa mereka dan anak saudara ke taman aktiviti itu nanti,” katanya yang tiba pukul 9 pagi.

Zuraidah Shamsuri, 46, dari Stulang Laut di sini memberitahu, dia mengetahui tentang peraduan itu setelah mebaca mengenainya dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.

“Kami sekeluarga memang pembaca setia akhbar Utusan Malaysia, jadi apabila ada peraduan seumpama ini memang saya suka sertai," katanya.

Peraduan Kumpul dan Tebus itu berlangsung selama sebulan dan orang ramai hanya perlu mengumpul 15 keping masthead Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia bermula keluaran 16 November hingga 16 Disember ini untuk mendapatkan sekeping tiket percuma ke Taman Aktiviti Angry Birds.

Penebusan tiket adalah berdasarkan kepada pendekatan ‘siapa cepat dia dapat’ dan hanya boleh dituntut di Pejabat Utusan Biro Johor, di sini.

Bagi memudahkan orang ramai menebus tiket percuma masing-masing, pihak Utusan Malaysia menyediakan kaunter pada setiap hari Sabtu dan Ahad mulai pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau boleh menghubungi 07-3335738 atau 07-3347420 untuk keterangan lanjut.

Tiket berkenaan boleh digunakan pada bila-bila masa termasuk hari cuti umum dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan tempoh sah laku tiket sehingga 31 Januari 2016.