Demikian luahan Zainal Mohd. Yusof, 54, yang nyata amat gembira apabila rumah baharu mereka yang mempunyai tiga bilik siap dibina oleh Pertubuhan Ihsan Johor yang dibantu oleh golongan sukarelawan semalam.

Zainal yang bekerja sebagai pemandu lori bersyukur dan mengakui kediaman di Kampung Pok Besar, dekat sini mampu memberi keselesaan kepada isteri dan anak-anaknya kerana sebelum ini mereka tinggal menumpang di rumah ibunya yang agak usang di situ.

Dia yang tidak pernah terfikir akan menerima bantuan sedemikian hanya mengetahui perkara itu tiga minggu lalu menerusi ketua kampung berke­naan.

“Rumah yang kami duduki selama ini adalah separuh papan merupakan peninggalan keluarga dan berusia hampir 80 tahun. Pendapatan saya kira-kira RM1,800 hanya cukup untuk menyara lima anak, manakala isteri pula tidak bekerja.

“Memang kami sekeluarga amat gembira dan bersyukur kerana ada pihak yang prihatin membina rumah baharu untuk kami berteduh. Lagipun, kalau harapkan gaji saya sebagai pemandu lori, memang saya tidak mampu untuk membina rumah,” katanya.

Dia berkata demikian selepas mene­rima replika kunci rumah berkenaan yang disampaikan oleh Ketua UMNO Bahagian Ge­lang Patah, Mohammad Khairi A. Malik di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Pengasas Pertubuhan Ihsan Johor, Suhaimi Salleh; Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview (CGPV), Syarul Izam Sarifudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Ihsan Johor, Farrah Faridah Baptist.

Sementara itu, Suhaimi ber­kata, pembinaan rumah tersebut menelan kos RM50,000 hasil tajaan dan sumbangan oleh CGPV.

“Ini merupakan fasa perta­ma antara lima fasa yang ditaja oleh CGPV dengan keseluruhan penajaan untuk lima unit rumah Ihsan Johor berjumlah RM250,000, sekali gus menjadi CGPV satu-satunya penaja korporat utama kami.

“Keseluruhan empat fasa selepas ini dijangka akan direa­lisasikan sehingga penghujung tahun ini,” katanya sambil memberitahu seramai 50 sukare­lawan termasuk warga kerja projek Forest City terlibat me­nyiapkan rumah tersebut.