Lebih manis, biasiswa tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu majlis di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar YPJ, Ab. Wahab Ridwan.

Pada majlis itu seramai tujuh pelajar daripada keluarga berpendapatan kurang RM3,500 dan sedang mengikuti pengajian di Kolej YPJ menerima skim biasiswa berjumlah RM170,820 susulan keputusan cemerlang dalam SPM dengan mendapat 5 hingga 10A.

Amira Natasha berkata, ibunya tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang banyak ke­rana hanya bekerja sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat di Taman Pelangi, dekat sini selepas bapanya meninggal dunia.

“Ayah saya meninggal dunia sejak tahun 2004 akibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan ibu perlu bekerja keras bagi menyara kami sekeluarga.

“Dengan biasiswa sebanyak RM22,570 ini, saya bertekad untuk memberikan keputusan cemerlang pada setiap semester bagi membuktikan kepada pelajar lain bahawa kemiskinan bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam Diploma Perakaunan di kolej tersebut.

Sementara itu P. Kiran, 18, terharu dan gembira apabila menerima biasiswa berkenaan, sekali gus dikecualikan daripada bayaran yuran pengajian dan penginapan.

Dia yang melanjutkan pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) bertekad untuk mendapatkan keputusan cemerlang selama tiga tahun di kolej tersebut, sekali gus mengubah kehidupan keluarganya supaya menjadi lebih baik.

“Ayah saya yang bekerja sebagai pemandu lori sentiasa memberi dorongan dan yakin nasib terletak pada usaha tanpa mengira latar belakang keluarga,” katanya anak sulung daripada tiga beradik ini.