Pengerusi penajanya, Datuk Ahmad Mukhriz Ahmad Fuad berkata, pada masa ini kira-kira  124,000 orang telah menyertai gerakan itu yang akan turut membantu menjenamakan semula pertanian sebagai kerjaya moden, berteraskan teknologi.

"Melalui imej baharu itu, Peladang Muda akan dijadikan satu platform kepada orang muda untuk menyertai bidang pertanian dengan ilmu pengetahuan, dan menjadikannya sebagai pekerjaan utama yang memberikan pendapatan tinggi.

"Ini selari dengan perkembangan terkini sektor itu  yang menggunakan pelbagai teknologi tinggi bagi membantu meningkatkan pengeluaran hasil dan kualiti,"ujarnya.

 Pelancaran penubuhan Peladang Muda disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Sabrey Cheek sempena Majlis Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan Kali Ke 42, di Taman Tamaddun Islam
(TTI) di sini hari ini

 Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Datuk Zainal Dahalan dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Peladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Ahmad Mukhriz yang menerima watikah pelantikannya dalam majlis itu berkata, peruntukan RM100 juta oleh kerajaan baru-baru ini bagi menggalakkan petani di bawah program Unit Agropreneur Muda (UAM) untuk  merangsangkan lagi usaha menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi utama rakyat negara ini amat dialu-alukan.

 Menurut beliau, anak muda ramai yang berminat untuk menyertai bidang pertanian tetapi masalah kekurangan modal dan juga tapak menjadi kekangan  utama. -UTUSAN ONLINE