Pengerusinya, Rahimah Najibah Abd. Rahim berkata, pusat refleksologi tersebut yang berope­rasi sejak 1 Disember lalu merupakan produk kedua PDK tersebut selepas menghasilkan kraf tangan berasaskan kertas surat khabar.

“Kami telah mendaftarkan produk ini di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pada peringkat awal, cuma ada empat pelatih dan seorang petugas yang menguruskan pusat refleksologi ini bermula Ahad hingga Khamis.

“Kesemua mereka telah mendapat latihan dan kemahiran asas daripada salah seorang petugas PDK ini yang mempunyai sijil refleksologi daripada Kolej Komuniti Jasin,” katanya selepas Majlis Perasmian Refleksologi PDK Maokil Enterprise di Felda Moakil, di sini yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Orang Kurang Upaya (OKU) dan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Adnan Mat Yassin.

Menurutnya, ketika ini pusat refleksologi tersebut hanya mampu menerima tiga orang pe­langgan pada satu masa dan 30 pelanggan dalam sehari serta kini mendapat sambutan menggalakkan d.

“Pelatih yang menguruskan pusat refleksologi ini terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pembelajaran, tetapi boleh mengurus diri dengan baik dan projek ini bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk belajar berdikari dan mencari wang saku serta mampu menjadi salah satu sumber pendapatan baharu kepada PDK,” katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, usaha PDK Felda Moakil itu boleh dijadikan model kepada PDK yang lain selaras dengan usaha menjayakan program Satu PDK Satu Produk yang dilancarkan sebelum ini.