Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, beliau difahamkan pengusaha tidak mempunyai masalah untuk mematuhi beberapa syarat asas seperti pe­ngasingan tempat duduk lelaki dan perempuan serta tiada tayangan pada waktu solat Maghrib.

Bagaimanapun katanya, syarat tidak ada sebarang tayangan sepanjang bulan Ramadan menjadi isu utama yang dibangkitkan dan perkara itu masih gagal diselesaikan manakala kerajaan negeri pula tidak akan berkompromi terhadap syarat itu.

“Kita ada garis panduan mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998. Walaupun kita buka ruang untuk hiburan, garis panduan itu wajib dipatuhi.

“Kalau sebulan sepanjang Ramadan tidak ada tayangan, mungkin pengusaha boleh buat aktiviti lain. Contohnya program konsultasi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penanaman Pokok AEON Hometown Forest melibatkan seramai 600 sukarelawan di pusat beli-belah AEON Mall di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi AEON Co. (M) Berhad (AEON Malaysia), Datuk Abdullah Mohd. Yusof.

Sebelum ini, Kerajaan Pas Ke­lantan dilaporkan bersedia membenarkan mana-mana syarikat atau pusat beli-belah membuka pa­wagam di negeri ini, namun perlu mematuhi syarat sebagaimana yang terkandung dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998.

Difahamkan, syarat berkaitan larangan tayangan sepanjang bulan Ramadan sukar dipenuhi sehingga menyebabkan beberapa syarikat yang berminat dikatakan membatalkan hasrat untuk membuka pawagam di negeri ini kerana khuatir akan mengalami kerugian.