Timbalan Pengarah Pejabat Jaringan Industri dan Kolaborasi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. P.Balakrishnan berkata, ramai ahli akademik takut untuk menulis dan membuat kajian yang benar-benar memberi impak dalam komuniti.

Beliau yang merupakan Profesor dalam bidang sumber manusia dan hubungan industri berkata, ahli akademik terutama yang masih muda sepatutnya sedar masyarakat amat mengharapkan golongan cendekiawan untuk memperjuangkan nasib mereka.

“Sebagai ahli akademik tanggungjawab kita adalah membuat penyelidikan dan pelbagai kajian. Namun apa guna jika makalah dan penulisan yang kita hasilkan terbit dalam jurnal antarabangsa tetapi rakyat bawahan tidak mendapat faedah.

“Kita perlu berkorban masa dan berjuang untuk kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat, hasilkan buku-buku dan buat kajian yang menyentuh keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Syarahan Perdana Pelantikan Profesor bertajuk ‘The Success of Minimum Wage Policy in Malaysia : The Theory and Practice of Employee Participation Model In Action’ di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota di UMK di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Chapter UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar dan Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Abdul Aziz Ab. Latif.

Balakrishnan, 50, yang mula dilantik sebagai Profesor di universiti itu sejak Januari 2013 adalah salah seorang ahli jawatankuasa dalam Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) dan merupakan antara yang terlibat dalam jawatankuasa teknikal penetapam gaji minimum. - UTUSAN ONLINE