Namun bagi salah sebuah syarikat pemaju terkemuka tanah air, I & P Group Sdn. Bhd. (I & P), keluhan serta kerisauan itu sebenarnya banyak dipengaruhi oleh persepsi yang tidak tepat kerana sektor hartanah sebenarnya kekal positif walaupun persekitaran ekonomi negara agak perlahan.
Kepada wartawan ZULKIFLI SAINUDDIN dan jurugambar SAHARUDDIN ABDULLAH, Ketua Pemasaran I&P, Datuk Muhammad Zaili Muhammad Yusof mengupas persoalan itu selain berkongsi perancangan syarikat tersebut yang bakal melancarkan tiga projek baharu, sekaligus memperlihatkan keyakinan I&P kepada permintaan pasaran hartanah.

Utusan: Boleh ceritakan sedikit tentang latar belakang I & P?

Muhammad Zaili: I & P ialah sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang ditubuhkan hasil gabungan tiga syarikat gergasi iaitu Island & Peninsula Berhad, Pelangi Berhad dan Petaling Garden Berhad pada 2009.

Pengabungan syarikat-syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang hartanah ini telah menghasilkan banyak projek-projek mega di Lembah Klang antaranya Bandar Kinrara, Alam Impian, Temasya Glenmarie, Alam Sari, Bandar Baru Seri Petaling, Bukit Damansara termasuk di Johor seperti Taman Rinting.

I & P juga telah mendapat pengiktirafan sebagai antara 10 pemaju hartanah terkemuka selama 11 tahun berturut-turut sejak 2013 daripada majalah perniagaan tempatan. Projek-projek kami juga banyak yang meraih anugerah dan pengiktirafan sama ada dalam atau luar negara.

Mengambil kira perkemba­ngan semasa ekonomi negara, apa perancangan I & P bagi 2017?

Pada tahun ini kita me­nyasarkan untuk melancarkan tiga projek perumahan dan rumah kedai di sekitar Lembah Klang terutamanya di Alam Impian, Shah Alam. Pada Januari kita sudah pun melancarkan projek pertama melibatkan 127 unit teres berkembar dua tingkat di Alam Impian yang dikenali Pentas 6.

Pentas 6 ini berkeluasan bermula dari 606.2 meter persegi hingga 695 meter persegi dan menawarkan harga berpatutan kepada para pembeli, bermula dari RM640,800 sehingga RM1,009,800

Apa istimewanya projek perumahan di Alam Impian, Shah Alam?

Kediaman di Alam Impian dibina dengan perincian dan pertimbangan diberi merangkumi aspek keselamatan, keselesaan dan kualiti. Ia dibina di dalam kawasan yang mempunyai pusat akses kawalan keselamatan.

Berkeluasan keseluruhan 499.7 hektar, perbandaran yang dibina pada 2006 kini didiami kira-kira 2,000 penghuni. Bagi mereka yang mahu tinggal dalam persekitaran hijau dan tenang daripada hiruk-pikuk kota tetapi tidak jauh dari ibu negara, Taman Alam Impian merupakan pilihan tepat.

Suasana selesa serta panorama indah beridentitikan seni dan landskap menarik menjanjikan ketenangan. Orang ramai boleh menyaksikan keindahan seni seperti lukisan mural dan arca serta tasik yang dikelilingi kira-kira 1,600 pokok daripada 45 jenis spesies di sekitar taman seluas 12.54 hektar.

Apa pendapat Datuk tentang pasaran hartanah ketika ini?

Meskipun keadaan ekonomi kini mencabar, tetapi bagi saya pasaran hartanah baik. Permintaan ke atas rumah sangat positif. Buktinya pelancaran projek terbaharu kami iaitu Pentas 6 pada bulan lalu habis ditempah dalam tempoh hanya dua jam. Ini membuktikan pasaran hartanah kini sangat baik dan kebimbangan orang ramai tentang sektor ini hanyalah disebabkan persepsi semata-semata.

Bagaimana dengan persepsi orang ramai yang mendakwa harga rumah akan jatuh?

Saya rasa kejatuhan harga rumah tidak berlaku sebab permintaan terus meningkat ketika ini. Harus diingatkan, permintaan kepada sektor hartanah bukan semata-mata bergantung kepada pembeli baharu sahaja tetapi juga pembeli rumah kedua, pembeli yang mahu menaik taraf rumah 
mereka.

Sebab itu suka saya ingatkan kepada mereka yang mempu­nyai niat untuk membeli rumah bahawa inilah waktu yang sesuai untuk membeli. Ini kerana ketika ini ramai pemaju memberi tawaran hebat kepada pembeli seperti rebat, pakej penuh dan sebagainya.

Bagaimana I & P mengharu­ngi pasaran hartanah yang mencabar ketika ini?

Apa yang penting bagi kami ialah menawarkan rumah pada harga berpatutan dengan kualiti serta jangka masa siap diutamakan selain kajian mendalam ke atas pelanggan sasaran mesti dibuat.

Kami di I & P misalnya tidak mengambil wang pendahuluan daripada pembeli sebaliknya kami membantu mereka untuk mendapatkan pinjaman. Kami akan mengadakan hari terbuka untuk menemukan pihak bank dan bakal pembeli.

Galeri jualan kami juga sentiasa terbuka untuk memberi khid­mat nasihat tentang pinjaman sebab kita tahu sekarang ini ramai yang menghadapi masalah tersebut.

Adakah I & P turut membina rumah mampu milik?

Pada tahun ini kami akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina 272 unit apartmen di Bandar Baru Sri Petaling.

Projek yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira 81 juta ini dijangka akan dilancarkan pada bulan depan. Apartmen yang mempunyai tiga bilik ini akan dujual pada harga hampir RM300,000. Selain projek itu, kami juga memperuntukkan beberapa rumah mampu milik bpada setiap projek perumahan yang kami lancarkan seperti yang disyaratkan oleh kerajaan.