Dalam kejadian pukul 9.15 malam itu, situasi tersebut berlaku begitu pantas menyebabkan rata-rata peniaga tidak sempat menyelamatkan barang perniagaan masing-masing.

Salah seorang peniaga yang ce­dera, Mohd. Mudzahar Ahmad, 35, berkata, ketika kejadian dia dan peniaga lain sedang mengemas barang masing-masing selepas habis berniaga.

“Ketika kami semua sedang sibuk mengemas barang-barang berniaga, tiba-tiba datang angin kuat seperti kepala angin lalu menyambar dengan kuat kawasan pasar malam dan dalam sekelip mata sahaja saya lihat khemah sudah terangkat setinggi 20 meter,” dakwanya yang menjual pakaian.

Ujar Mudzahar, ekoran kejadian itu, dia mengalami luka kecil di bahagian kepala, belakang badan dan lutut akibat terkena besi khemah.

Katanya, turut cedera ialah dua rakannya berusia 30-an yang mengalami luka di kaki manakala seorang lagi segera dihantar ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga, Zulkifli Ismail, 39, memberitahu, situasi panik yang berlaku membuatkan kebanyakan peniaga langsung tidak terfikir untuk menyelamatkan barang masing-masing selain bergegas mencari tempat menyelamatkan diri.

Difahamkan, ketika kejadian terdapat lebih 200 peniaga yang berniaga di pasar malam yang dibuka setiap Isnin itu.

Rata-rata peniaga yang ditemui tidak menolak kemungkinan jumlah kerugian mencecah puluhan ribu ringgit akibat kerosakan khemah dan barangan perniagaan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Latiff Tamby Chik berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dan membantu peniaga terlibat dalam tempoh terdekat.