Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, air sungai dengan arus deras dari Sungai Tembeling melimpah sehingga memasuki kawasan meletak kenderaan berdekatan pintu masuk Resort Taman Negara Kuala Tahan.

Kenaikan paras air sungai ber­kenaan turut mengubah kedudukan sebuah restoran terapung di situ yang hanyut merapati tebing di Dataran Esplanade berhampiran pintu masuk tersebut.

Air sungai itu juga didapati menenggelamkan kawasan berpasir yang menjadi laluan pejalan kaki bagi pelancong ke restoran terapung dan chalet milik penduduk tempatan di situ.

Seorang pemandu pelancong, Roslan Abu Kassim, 51, berkata, paras air Dungai Tembeling naik berikutan hujan lebat teruatama pada sebelah malam sejak beberapa hari lalu.

“Paras air di sungai ini cepat naik berikutan banyak hutan yang menjadi kawasan tadahan air di hulu sungai ditebang mengakibatkan permukaan tanah gondol sehingga air hujan tidak meresap, sebaliknya mengalir ke sungai.

“Keadaan ini juga menyebabkan paras air di beberapa batang anak sungai di kawasan Hulu Tembe­ling naik dan mengandungi keladak yang mengalir ke Sungai Tembe­ling,” dakwanya ketika ditemui di Kuala Tahan dekat sini.

Menurut Roslan, situasi yang berlaku sekarang lazimnya akan menyebabkan musibah banjir yang kerap berlaku sejak beberapa tahun lalu berulang terutama pada hujung tahun.

“Kenaikan paras air ini memberi amaran kepada penduduk dan pihak berkaitan supaya bersedia menghadapi banjir,” katanya.