Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, projek itu merangkumi pembinaan jalan pertanian dan pembentung yang memberi kemudahan kepada pekebun kecil setempat.

“Kemudahan ini akan memudahkan mereka mengeluarkan hasil kebun mereka untuk dijual di kawasan pekan atau bandar berdekatan,” katanya berucap merasmikan Program Kasihi Pekebun Peringkat Risda Daerah Segamat di Balai Raya Kampung Tunku Tiga, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Pegawai Lembaga Getah Malaysia Wilayah Selatan, Dhalan Jaafar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Program Kasihi Pekebun anjuran Risda mampu memupuk hubungan erat antara pekebun kecil dan kakitangan Risda di daerah ini.

Anuar berkata, program yang mula diperkenalkan sejak 2014 itu dilaksanakan secara bulanan dan turut mendapat sambutan baik dalam kalangan pekebun kecil di daerah ini.

“Pendekatan turun padang merupakan kaedah terbaik bagi meningkatkan sistem penyampaian kepada golongan sasar seperti penyampaian maklumat berkenaan Amalan Pertanian Baik (GAP).

“Program ini juga turut memberi ruang kepada pekebun kecil untuk mengemukakan sebarang masalah serta cadangan secara terus kepada pegawai Risda berbanding sebelumnya apabila pekebun kecil yang terpaksa pergi ke pejabat Risda,” katanya.

Sementara itu, Nor Afzami berkata, program itu dapat memastikan hebahan maklumat mengenai program bantuan Risda yang terkini dapat disampaikan terus kepada pekebun kecil setempat.

“Seperti hari ini, fokus kami adalah memberikan taklimat Rumah Bina Negara (RBN) dengan kos sebenar sebanyak RM65,000 namun mendapat subsidi kerajaan sebanyak RM20,000 de­ngan keluasan 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Setakat 19 Mac lalu, seba­nyak 20 permohonan RBN sudah diterima Pejabat Risda Daerah Segamat di mana 14 permohonan telah disokong serta dalam proses kelulusan dan permohonan juga masih dibuka,” katanya.

Menurutnya, antara syarat permohonan RBN ialah warganegara Malaysia, generasi luar bandar berumur antara 18 hingga 45 tahun yang bermaustautin di kampung, tidak memiliki rumah sendiri, berpendapatan RM4,000 ke bawah dan mempunyai tanah sendiri.