Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye ber­kata, ini bagi memastikan projek berkenaan yang merupakan sebahagian daripada projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life berjalan lancar selain mengelak risiko kemalang­an berulang akibat kecuaian dan kelemahan kontraktor.

“Memandangkan projek yang mula dilaksanakan sejak 2014, mengambil masa empat tahun untuk disiapkan, agensi terbabit harus memantau kerja-kerja yang dijalankan di sepanjang jajaran rangkaian pembetungan,” kata-nya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini.

Katanya, gesaan itu dibuat hasil pemerhatian beliau, aduan rakyat dan laporan akhbar melihat kelemahan berhubung kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor.

“Paling ketara ialah apabila kontraktor yang melakukan kerja pembetungan tidak mengutamakan keselamatan dan kesihatan pe­­­kerjaan.

“Sudah banyak kali saya perhatikan apabila lubang di jalan raya digali, sama ada bagi pemasangan paip pembetung saliran di bawah jalan atau sebagainya, pekerja kontraktor tidak memberi perhatian berat kepada langkah-langkah ke­selamatan.

“Pihak kontraktor juga meletakkan penghadang yang tidak sesuai di sekeliling tapak kerja sementara papan tanda ke­selamatan pula tidak mencukupi. Se­setengah kontraktor menggunakan penghadang yang tidak kukuh dibuat daripada plastik dan bukannya penghadang kon­krit,” katanya.

Tambahnya, kontraktor juga ti­dak menyediakan pencaha­ya­an yang baik serta tanda kese­lamatan dan papan amaran yang sesuai di waktu malam sehingga menyebabkan pengguna jalan raya terbabas dan melanggar penghadang serta terjatuh ke da­lam lubang.

Sehubungan itu, beliau menyeru PBT menyediakan garis pan­duan yang ketat untuk semua kontraktor yang melakukan kerja-kerja atau penggalian lubang pembetungan di jalan raya supaya mematuhi prosedur ke­selamatan di tapak kerja.

“Permit kerja harus diberikan kepada kontraktor yang cekap, bertanggungjawab dan memen-tingkan keselamatan. Mereka juga perlu memastikan bahawa kawasan tapak kerja sentiasa kemas dan teratur.

“Walaupun projek tersebut akan memberi kesan positif kepada kehidupan warga kota di mana ianya membabitkan pembersihan dan pengindahan sungai serta kemajuan tanah dari segi ekonomi dan komersial, isu keselamatan orang awam tidak boleh dipandang ringan,” katanya.