Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, panggung untuk persembahan pentas itu mempunyai peranan penting dalam mengetengahkan susur galur sosiobudaya serta masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Menurutnya, Panggung Bangsawan itu juga boleh dijadikan wadah untuk mendidik masyarakat setempat tentang pentingnya menghargai karya seni dan budaya bangsa untuk tatapan gene-rasi akan datang agar tidak hilang ditelan zaman.

“Diharap dengan wujudnya panggung berskala kecil namun tidak kurang gah ini, akan membantu memeriahkan sektor pelancongan berasaskan seni persembahan serta budaya di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Panggung Bangsawan Melaka di Jalan Hang Tuah di sini .

Majlis itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Pe-ngarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Jelas Idris, beliau juga berbangga dengan kerjasama pihak Istana Budaya yang mempunyai kepakaran dalam bidang persembahan pentas untuk membantu Melaka memajukan panggung tersebut.

“Dengan kerjasama itu juga, persembahan berskala kecil yang dipentaskan di Istana Budaya akan turut dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka,” ujar-nya.

Tambah Idris, penubuhan Panggung Bangsawan Melaka itu sejajar dengan matlamat kerajaan negeri dalam mempelbagaikan lagi tarikan pelancongan yang menjadi nadi ekonomi negeri.

“Ini juga sebagai bukti bahawa Melaka sebagai sebuah ne-geri kecil yang tidak mempunyai banyak sumber asli masih boleh mengekalkan kelangsungan tarikannya dengan daya inovasi dan kreativiti,” jelas beliau.

Sempena perasmian panggung itu juga, para hadirin dipertontonkan dengan persembahan bertajuk Bangsawan Tun Mamat dan Puteri Gunung Ledang arahan Lokman Ghani yang dilakonkan pelakon terkenal tanah air termasuk Datuk Jalaluddin Hassan, Awie dan Vanida Imran.