Panggung Bangsawan yang dulunya adalah panggung wayang Cathay berhampiran Sungai Melaka dekat Jambatan Hang Jebat dekat sini telah dinaik taraf melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) melibatkan kos sebanyak RM7.6 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNM, Datuk Baharam Mohd. berkata, kerja-kerja menaiktaraf Panggung Bangsawan itu dijangka siap sepenuhnya hujung bulan ini.

Menurutnya, hanya kerja-kerja luaran mencantikkan bangunan itu dengan landskap sedang giat dijalankan di samping memperkemaskan sistem audio dan pencahayan di ruang dalam panggung itu.

“Pentas kita ubahsuai menjadi lebih luas dan panggung ini mampu memuatkan sebanyak 400 penonton bagi satu-satu pementasan tea­ter dan dilengkapi penghawa di­ngin, sistem audio yang canggih dan pencahayaan.

“Setakat ini Yang Dipertua Ne­geri, Tun Mohd. Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang meninjau kerja-kerja akhir di sini amat berpuashati dengan Panggung Bangsawan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Baharam berkata, satu jawatankuasa pengurusan Panggung Bangsawan akan ditubuhkan bagi merancang pelbagai program persembahan bangsawan yang dijadualkan bermula Februari tahun hadapan.

Menurutnya, panggung itu apabila siap sepenuhnya nanti akan menghidupkan semua persembahan teater dan bangsawan sekali gus melahirkan lebih ramai penggiat seni budaya terutama dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, pengisian aktiviti program pementasan teater dan bangsawan sedang diatur untuk tempoh enam bulan melalui kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Dengan adanya Panggung Bangsawan ini, saya yakin ia akan menjadi satu lagi produk pelancongan khusus kepada peminat-peminat seni teater yang datang dari luar negeri ini,” ujarnya.