Namun, di sebalik kegembiraan untuk berhari raya bersama-sama keluarga, ada juga yang bersedih kerana kehilangan ahli keluarga tersayang.

Lebih memilukan, kehilangan mereka akibat kecuaian semasa memandu di jalan raya. Malah, saban hari ada sahaja korban yang diratapi akibat kemalangan.

Walaupun acapkali diingatkan, namun sering dilihat ramai pemandu seakan-akan ‘hilang akal’ semasa di jalan raya hanya kerana ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing.

Teropong Kawan sering berbisik dalam hati - macamlah mereka sahaja yang nak cepat sampai!

Selain memandu laju dan kadangkala melulu, ramai juga pemandu yang tidak bertimbang rasa dengan memotong barisan atau memintas kenderaan lain di garisan berkembar atau selekoh.

Sikap begitu bukan sahaja berbahaya, malah mengundang ketidakpuasan hati pemandu lain. Jika ada yang tidak bertoleransi, boleh mengundang pergaduhan kerana semua pihak mungkin tertekan akibatkan kesesakan dan lama menunggu giliran.

Justeru, Teropong Kawan berharap supaya semua pengguna patuhilah peraturan dan ikutlah giliran, janganlah memotong barisan sesuka hati yang boleh me­ngundang kemarahan pemandu lain.

Selain memandu laju dan berbahaya, salah satu punca kemalangan yang sering dilaporkan kerana mengantuk setelah mengharungi pemanduan yang lama.

Apa kata, berehatlah sebentar selepas setiap dua jam memandu, sekurang-kurangnya buat rega­ngan badan bagi membolehkan otot-otot berehat dan dapat mengembalikan kecergasan, khususnya bagi yang mengharungi pemanduan jauh.

Usah paksa diri jika mengantuk dan kalau perlu, lelapkan mata sebentar di kawasan rehat dan rawat (R&R) yang disediakan di panjang lebuh raya atau perhentian di sepanjang laluan semasa pulang ke kampung halaman.

Seperkara lagi, Teropong Ka­wan ingin berkongsi tips, semasa pemanduan, mainkan lagu-lagu kegemaran yang mampu menceriakan dan bagi kaki karaoke, menyanyilah mengikuti rentak lagu bagi mengurangkan rasa bo­san dan mengantuk.

Kalau boleh ajak sekali anak-anak menyanyi kerana mampu menceriakan suasana dan mereka turut menemani semasa memandu, bukannya hanya anda yang berjaga, pasangan dan anak-anak ‘buat’ tahi mata.

Jadi, semasa pulang berhari ra­ya ini, pastikan sampai ke kampung halaman dengan selamat, malah kehadiran anda semua di­sambut dengan kegembiraan, bukannya disirami dengan air mata apabila ayah dan ibu menyambut ketibaan jenazah.

Semoga semua sampai di destinasi dengan selamat dan bergembira bertemu keluarga dan sanak -saudara.

 

Teropong Kawan: Gemar lagu keroncong