Menurut Pengurus Besar Safari Wonderland, Robert Na, pa­meran tersebut akan menampilkan 35 jenis ayam dari 15 negara dan setiap haiwan itu mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

“Kami juga akan mengadakan beberapa aktiviti menarik bagi menjadikan pameran ini lebih menarik dan tarikan kepada pe­ngunjung serta kanak-kanak yang hadir nanti.

“Konsep interaktif digunakan supaya orang ramai akan lebih memahami dan ingat perkara melibatkan ayam, bukan sekadar datang dan melihat sahaja haiwan itu,” katanya kepada pemberita di A’Famosa Resort, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Petugas media turut diberi peluang berkunjung ke pameran tersebut yang menyediakan pelbagai jenis ayam termasuk yang diimport dari China, Jepun dan Thailand serta ayam yang sering digunakan untuk pertaruhan.

Pameran tersebut bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang pada setiap hari sepanjang tempoh tersebut.

Selain itu kata Robert, Old West menyediakan pelbagai program khas untuk para pengunjung ia­itu ‘Karnival Shanghai Nian’, pertunjukan bunga api, ‘Red Warrior Fire’ dan persembahan ‘Jazz Live Band’.

A’Famosa Resort turut menawarkan pakej yang menarik kepada pengunjung antaranya, pakej ‘Gong Xi’ termasuk tiket Old West, teater ‘CNY Year Beast’ bunga api dan pertunjukan ‘Red Warrior Fire’.

Bagi pakej tersebut, orang dewasa akan dikenakan bayaran sebanyak RM32 manakala kanak-kanak dikenakan bayaran RM27 dan bakal menerima sampul ang­pau mengandungi baucar diskaun.

Terdapat beberapa pakej lain iaitu ‘Fa Cai, ‘Xin Nian’ dan ‘Kuai Le’ yang masing-masing menawarkan pakej berlainan untuk dipilih oleh para pengunjung.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Facebook A’Famosa Resort di pautan www.facebook.com/afamosa.my atau menghubungi talian 06-5520888.