Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, langkah berkenaan dilihat amat bertepatan untuk mengatasi masalah penempatan dalam kalangan generasi muda khususnya di kampung-kampung tradisional.

“Saya nampak di sini kita bukan sahaja membincangkan hal-hal berkaitan Felda sahaja tetapi juga melibatkan penduduk di kampung-kampung tradisional dengan memberikan keutamaan kepada sosio ekonomi khususnya isu penempatan generasi baharu.

“Jadi di Pulau Tawar ini kita minta kerjasama Jabatan Perhutanan dan kerajaan negeri untuk mengubah status hutan-hutan simpan menjadikan tanah negeri untuk dibuka kepada generasi baharu penduduk kampung tradisio­nal,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Nazri, terdapat sembilan buah kampung tradisional di daerah ini selain 13 buah tanah rancangan Felda dan juga sebuah Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Abdul Razak.

Katanya, pada masa ini pembangunan penempatan baharu khususnya kepada generasi baharu kampung tradisional terbatas kerana kampung tradisional terletak bersempadan dengan DUN Damak dan juga hutan simpan.

Justeru katanya, satu-satunya alternatif terbaik dalam mengatasi isu penempatan itu adalah melalui pembukaan penempatan baharu di kawasan hutan simpan.

“Saya tengok hutan simpan terletak berhampiran kampung dan tanah rancangan Felda jadi apa salahnya kita tukar hutan simpan ini kepada tanah negeri untuk kita jadikan penempatan baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembukaan kawasan penempatan baharu amat penting dalam memastikan golongan muda di kam­pung-kampung tradisional mempunyai kediaman sendiri.

Selain itu katanya, ia juga dapat melonjakkan lagi pembangunan kawasan Pulau Tawar seterus­nya memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat.