Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Abu Bakar Harun berkata, jika terperdaya dengan taktik tersebut akhirnya yang rugi adalah rakyat sendiri kerana dijanjikan dengan perkara yang tidak mampu ditunaikan.

“Golongan seperti ini akan muncul empat atau lima tahun sekali. Mereka menawarkan khidmat dan berjanji bulan dan bintang.

“Namun saya percaya, rakyat kini semakin bijak menilai parti mana yang berkhidmat untuk rakyat dan membela nasib mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)-MyKasih di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini di sini semalam.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jeba­singam Issace John dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyKasih, Datuk Yaacob Md. Amin.

Dalam pada itu, Abu Bakar yakin sokongan masyarakat Orang Asli terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini terus berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Hal ini kerana komitmen BN dalam menjamin pembangunan masyarakat Orang Asli tidak pernah berbelah bahagi terutama dalam mengubah landskap kehidupan mereka ke arah yang le­bih baik,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, program Empower ECER-MyKasih merupakan salah satu usaha yang dijalankan kerajaan bagi melibatkan masyarakat Orang Asli dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

“Program Empower ECER-MyKasih merupakan antara usaha yang dijalankan bagi mengubah landskap hidup Orang Asli khusus­nya di Chini menerusi pendidikan lebih moden dan perkembangan sektor keusahawanan,” ujarnya.