Bagaimanapun, SAR yang turut membabitkan pasukan skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu dihentikan selepas wanita berkenaan dan ‘mangsa’ tampil dengan memaklumkan bahawa perbuatan itu sengaja dirancang.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, laporan mengatakan wanita berusia 38 tahun itu lemas selepas terjatuh ketika memancing di sungai berkenaan adalah palsu.

“Wanita itu tinggal bersama ibunya sejak dua bulan lalu berada dalam keadaan tertekan apabila terpaksa berpisah dengan empat anaknya.

“Ketika kejadian dia memang berniat untuk terjun ke dalam sungai itu tetapi dinasihatkan ibunya dan merancang seolah-olah kes lemas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Norzamri, kedua-duanya dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana membuat pernyataan palsu. - UTUSAN ONLINE