Presiden Angkatan Kopera­si Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 229 buah koperasi wanita, 27 koperasi ibu tunggal dan sembilan koperasi puteri dengan keahlian lebih 20,000 ahli.

Beliau berkata, menerusi pelbagai aktiviti perniagaan dan perkhidmatan, koperasi-koperasi tersebut berjaya memperoleh penda­patan kira-kira RM10 juta sebulan.

“Bagaimanapun, ahli lembaga koperasi wanita perlu terus melakukan transformasi secara berstruktur, sistematik dan komprehensif bagi menjana lebih keuntungan sekali gus memberi faedah kepada ahlinya,” kata­nya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Wa­nita Lipis di sini hari ini.

Menurut Abdul Fattah, gerakan koperasi boleh dijadikan platform kepada bumiputera khususnya wanita Melayu untuk mempertingkatkan kedudukan ekonomi mereka.

Katanya, koperasi adalah alternatif terbaik pilihan wanita selaku 'pengurus rumah tangga' bagi memperbaiki taraf ekonomi dan sosial keluarga.

“Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan gerakan koperasi kerana mendapat duku­ngan kuat pihak kerajaan melalui agensinya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Maktab Koperasi Malaysia,” katanya.