Ibu kepada enam orang anak berusia antara sembilan bulan hingga 16 tahun itu pada mulanya berdepan kehidupan agak perit memandangkan suaminya, Abdul Razak Mat Ghazali, 46, tidak mampu bekerja kerana masalah penglihatan akibat demam panas.

“Saya terpaksa berdepan dugaan dalam kehidupan apabila anak semakin membesar dan pada mulanya saya mahu belajar menjahit namun mengubah fikiran memilih kursus kulinari bagi mencuba sesuatu yang baharu.

“Hasrat saya tertunai apabila dapat menyertai kursus membuat piza anjuran sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bandar ini pada tahun lalu di bawah tunjuk ajar Chef Mohammad Zakri Hamzah dan Chef Korie Bokhari,” katanya di Felda Sungai Tekam dekat sini baru-baru ini.

Menurut Fatimah, hasil tunjuk ajar kedua-dua chef dan bimbingan pengurusan serta pemasaran pihak GLC berkenaan, dia memberanikan diri menceburi bidang keusahawanan de­ngan berbekalkan sedikit modal menerusi simpanannya.

Katanya, memandangkan latar belakang keluarganya bukan usahawan, suaminya memberikan semangat dan galakan supaya tabah berdepan peringkat awal perniagaan itu.

“Saya memilih perniagaan piza setelah memperoleh kemahiran kedua orang chef ber­kenaan dan mula membuat pasaran di sekitar Felda Sungai Tekam dan Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam (PPPTR) dengan bantuan rakan suami yang bekerja di situ,” katanya.

Beliau berkata, piza buatannya mula memasuki pasaran pada bulan Oktober tahun lalu dengan menggunakan jenama 'Pizza Fatin Razak'.

“Saya mula aktif membuat piza dan melebarkan pasaran makanan ini bersaiz 10 inci jenis BBQ Chicken (RM15), Hawaii Chicken (RM15), Aloha Chicken (RM16), Beef Bolognese (RM16) dan Beef BBQ (RM16) sehingga ke bandar Jerantut, Felda Sungai Retang, gugusan Felda Jengka dan Jengka Pusat,” ujarnya.

Fatimah berkata, perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai malah rezekinya semakin baik apabila pisa buatannya mendapat sokongan rakan apabila jenama Pizza Patin Razak menjadi tular di laman sosial Facebook.