Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bermula daripada sebuah pekan kecil atau ‘pekan koboi’ yang diba­ngunkan pada 1970-an, landskap pembangunan Sungai Koyan kini banyak berubah dan mewarnai kesejahteraan hidup penduduk di situ.

Beliau berkata, Sungai Koyan bakal menjadi bandar kedua terbesar di kawasan Felda negeri ini selepas Pusat Pertumbuhan Bandar Felda Mempaga di Bentong mendominasi pembangunan menerusi sektor perniagaan, perumahan, industri, pendidikan dan pelancongan.

“Kita hendak jadikan Su­­ngai Koyan sebagai pusat tum­puan pengunjung iaitu men­ja­di transit kenderaan dari negeri-negeri pantai timur dan Pahang Timur ke daerah Pahang Barat.

“Seterusnya ke Perak, Lembah Klang dan utara Semenanjung menerusi jalan raya Sungai Ko­yan-Cameron Highlands,” katanya selepas majlis pecah tanah Projek Laman Sejahtera Jelai di bandar Sungai Koyan baru-baru ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah, Datuk A. Rahman Hamzah; Setiausaha Majlis Daerah Lipis (MDL), Mohd. Pauzi Abu Hussaini dan Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob.

Menurut Wan Rosdy, pemba­ngunan dalam sektor ekonomi, pelancongan dan modal insan sudah menjadi realiti apabila semua kemudahan asas dilengkapi dengan sempurna oleh kerajaan negeri di bandar ini termasuk jalan raya ke perkampungan Orang Asli di pedalaman Hulu Jelai.

Kata beliau, projek kemudahan asas termasuk premis perniagaan yang dibangunkan MDL dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Sungai Koyan mampu memberi manfaat seramai 13,000 penduduk, iaitu peneroka Felda Gugusan Koyan, kampung tradisional pesisir Sungai Jelai dan Orang Asli Hulu Jelai.