Video oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

Tanpa bekalan elektrik, Hasan yang masih bujang hanya mengharapkan pelita dan unggun api pada waktu malam selain bekalan air bersih disumbangkan jiran yang bersimpati untuk meneruskan kehidupan di pondok berkenaan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, saiz pondok itu adalah kecil dan hampir roboh yang tidak sepatutnya dijadikan sebagai tempat tinggal.

Pondok yang dibina warga emas berkenaan hanya mempunyai pangkin kayu untuk seorang individu tidur dan bahagian memasak selain sambungan paip yang diberikan oleh jiran berhampiran.

Hasan yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu berkata, dia menduduki pondok itu sejak dua tahun lalu selepas menumpang di rumah saudaranya di kampung berhampiran.

“Selepas ibu meninggal dunia dan saya sembuh daripada sakit, saya mengambil keputusan untuk berdikari dan membina sendiri rumah daripada kayu, zink dan buluh yang kutip serta cari.

“Saya bersyukur dapat ber­teduh, cuma setiap kali hujan saya tidak dapat tidur kerana basah akibat tempias dan atap sudah bocor. Setiap kali hujan, saya kena jemur tilam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Hasan, pendapatannya dengan bekerja kampung dan mengambil upah menoreh getah menyukarkannya membina sebuah rumah lebih selesa.

Dia yang tidak mendapat sebarang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hanya memperoleh sumbangan dan bantuan jiran serta orang ramai termasuk keperluan makanan seperti beras.

“Saya makan apa yang ada termasuk tanaman yang tanam sendiri. Kadangkala saya menjala ikan di sungai manakala beras beli dengan duit upah selain sumbangan orang ramai.

“Bagaimanapun dalam usia emas, saya tetap impikan sebuah rumah untuk mengisi sisa hidup saya dengan lebih selesa,” katanya.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada warga emas itu boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Hasan 112362032434.