Ves keselamatan pintar yang boleh mengesan kenderaan memasuki laluan kerja dan memberikan isyarat yang dihasilkan enam warga MPB itu turut memenangi anugerah emas sempena Konvensyen Wilayah Team Excellence (RTEx) 2018 pada 17 dan 18 Julai lalu.

Ketua kumpulan itu, Shahrul Nizam Abdul Malek berkata, produk inovasi tersebut dicipta hujung tahun lalu selepas mereka melihat isu keselamatan pekerja di laluan trafik.


Video oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

“Sebenarnya, idea ini tercetus daripada inisiatif Yang Dipertua MPB, Datuk Muhammad Shahid Ismail yang meminta setiap unit mencipta produk inovasi untuk dibentangkan dalam setiap perhimpunan bulanan.

“Alhamdulillah, produk ini berjaya dihasilkan dan telah digunakan oleh petugas MPB serta berjaya memenangi anugerah emas yang melayakkan kami me­langkah ke peringkat kebangsaan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Shahrul Nizam, ves dengan kos kira-kira RM220 bagi satu set itu dilengkapi dengan sistem amaran berupa lampu dan ‘buzzer’ yang berfungsi dengan kehadiran kenderaan di kawasan kerja.

Katanya, sistem keselamatan itu dilihat signifikan dalam memastikan keselamatan pekerja yang sedang bertugas di jalan raya khususnya pada sebelah malam.

“Melalui sistem ini, kita mele­takkan alat pengesan di kon. Apabila kenderaan melanggar atau melepasi kon itu, penggera dan lampu pada baju keselamatan berfungsi sekali gus memboleh­kan mereka menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shahid berkata, produk inovasi yang mendapat pengiktirafan selepas menerima anugerah emas itu memberi manfaat besar khususnya kepada warga kerja MPB dalam isu keselamatan.

“Kami menyasarkan produk ini yang akan dipertandingkan dalam Konvensyen Team Excellence Kebangsaan (NTEx) 2018 bukan sahaja dapat membawa pulang anugerah tetapi berjaya ke peringkat antarabangsa,” katanya.