Meskipun ramai berputus asa pada masa itu, Mohd. Feisal berkata, dia tetap bertekad untuk menjadi perintis penanaman tumbuhan daripada keluarga orkid yang dilihat amat berpotensi itu.

“Saya hampir berputus asa selepas mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM20,000 dan syarikat berkenaan ‘lari’ sehingga ada ramai rakan-rakan saya yang berhenti daripada menanam vanila.

“Namun saya bertekad meneruskan penanaman vanila dan mula belajar melalui internet sebelum mendapatkan ilmu daripada seorang individu yang banyak membantu dalam teknik penanaman yang betul,” katanya kepada Utusan Malaysia sini baru-baru ini.

Menurutnya, dia mula menanam vanila pada 2008 melibatkan sebanyak 400 pokok selepas belajar penanaman pokok berkenaan daripada internet.

Katanya, sehingga kini dia yang menyasarkan menanam sebanyak 4,000 pokok berjaya menanam kira-kira 2,500 pokok vanila di kawasan tanah seluas hampir 0.8 hektar secara konvensional di Kampung Bangau Parit, di sini.

“Alhamdulillah ia mendapat permintaan tinggi dan masa ini selain menanam pokok vanila, saya juga mengadakan ceramah bagi mengajar penanaman vanila termasuklah melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, hanya beberapa negara sahaja di dunia mengeluarkan vanila dan hasil keluaran tanaman ini berjaya dijual ke luar negara terma­suklah ke Singapura dan Perancis.

Mohd. Feisal memberitahu, dengan harga pasaran kira-kira RM1,400 sekilogram pada masa ini, dia menjual vanila Temerloh secara pos atau pembeli datang terus ke ladang.

“Permintaan memang tidak mencukupi dan sehingga kini saya berjaya menjual sebanyak 89 kilogram. Saya berharap lebih ramai menceburi bidang ini, kita sama-sama memastikan produk vanila dari Malaysia berkualiti tinggi,” katanya.