Pengasas Warisan Ummah Ikhlas Foundation, Datuk Dr. Hussamuddin Yaakub berkata, orang Melayu khususnya terlampau banyak berpolitik sehingga kadangkala berlaku perbalahan termasuk disiplin keluarga semakin teruk yang akhirnya tersasar daripada landasan Islam sebenar.

"Dalam usaha kita mahu membentuk ummah yang memiliki minda dan akhlak al-Quran, seharusnya keluarga adalah keutamaan.

"Lelaki sebagai ketua keluarga khususnya perlu bekerja keras memperkukuh ekonomi di samping menerapkan nilai-nilai murni. Bab politik bila tiba pilihan raya pergi sahaja memangkah," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Bicara Khas dan Perasmian Rumah Ngaji di Universiti Malaysia Pahang, kampus Gambang di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin dan  Duta World #QuranHour, Norman Hakim.  -  UTUSAN ONLINE