DAING NASIR IBRAHIM

Lebih membangga­kan, penarafan lima bintang itu menjadikan UMP satu-satunya universiti teknikal di negara ini yang mengungguli pencapaian cemerlang bersama lima universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta sebuah universiti swasta, Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Naib Canselor UMP, Prof. Dato Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, universiti berkenaan mencapai lima bintang dalam ka­tegori pengajaran, kebolehpasaran pekerjaan, pengantarabangsaan, kemudahan, inovasi dan inklusif hasil budaya kerja cemerlang seluruh warganya.

“Pencapaian ini bertepatan dengan aspirasi kegemilangan UMP untuk menjadi universiti teknologi terunggul menjelang 2020 yang bukan sahaja mendapat pengiktirafan setempat tetapi antarabangsa.

“Sistem penilaian ini memberi ruang dan peluang kepada UMP untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting sekali gus menyemarakkan usaha membangunkan serta memantapkan pencapaian universiti di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagi kategori penyelidikan, UMP ber­­jaya memperoleh empat bintang dan tiga bintang bagi penilaian terhadap ka­tegori kekuatan program.

QS Stars adalah sistem penarafan yang memberi pandangan terperinci mengenai institusi dan universiti bagi membolehkan pelajar serta ibu bapa mengenal pasti institusi pendidikan terbaik.

Menurutnya, pencapaian itu juga membuktikan keupayaan UMP setanding dengan universiti ternama lain di dalam dan luar negara.