Majlis perasmian KPTN 2018 Zon Pahang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad di universiti itu hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Prof. Datuk Dr. Mashitah Mohd. Yusof.

Syed Ibrahim dalam ucapannya berkata, pelebaran akses pendidikan tinggi dan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bakal menyediakan generasi pewaris yang berpengetahuan serta mahir yang akan merealisasikan aspirasi kerajaan iaitu Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kerajaan negeri menyambut baik sebarang usaha yang menyumbang secara positif dan konstruktif bagi maksud tersebut dan terbuka untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melaksanakan program seumpama ini,” katanya.

Karnival dua hari sehingga esok itu menyasarkan pelajar menengah, lepasan diploma dan setaraf, ibu bapa, guru dan komuniti setempat bagi merebut peluang menyambung pengajian.

Sementara itu, Mashitah berkata, KPTN 2018 sebagai hebahan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi seluruh negara bagi sesi kemasukan 2018/2019.

“Karnival ini juga merupakan platform yang memberi kemudahan kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat program akademik yang ditawarkan. - UTUSAN ONLINE.