Pengerusi Lembaga Pengarah Urusan UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, penganjuran program itu adalah medan pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kerja UMP dalam pelbagai lapangan dan mendorong mereka terus berkhidmat cemerlang.

“Kepelbagaian skim, kumpulan dan gred perkhidmatan memboleh­kan UMP bergerak mapan sejak 16 tahun yang lalu dan ia menuntut keprihatinan strategik daripada pengurusan untuk memahami keperluan warga kerja.

“Tidak kira apa juga skim, kumpulan atau gred perkhidmatan, saya percaya bahawa semua warga kerja kita punya peranan yang istimewa dalam meningkatkan prestasi UMP pada setiap masa,” kata­nya ketika berucap pada majlis itu.

Yang hadir sama.Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi merangkap Pendaftar UMP, Abd. Hamid Majid.

Acara bertemakan ‘Kualiti dan Inovasi Memacu Kegemilangan’ itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan yang membuktikan pencapaian cemerlang melalui pembudayaan kualiti serta inovasi penggerak utama ke arah kecemerlangan UMP.

Ibrahim berkata, adalah pen­ting bagi pihak pengurusan dan pentadbir sumber manusia untuk lebih proaktif dalam menyediakan ruang bagi warga kerja memberi pandangan dan buah fikiran.

“Pelbagai inisiatif sedang dan akan diperkenalkan bagi merang­sang produktiviti dan prestasi warga kerja di universiti termasuk Pay For Performance dalam kerangka pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020,” katanya.

Sementara itu, Daing Nasir berkata, bakat yang dibangunkan bagi mengoperasikan universiti itu sama ada dalam kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional serta pelaksana sewajarnya memiliki ketahanan dan keupayaan untuk memberikanperkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang.